KUANTAN – Sebanyak 11,400 daripada 33,600 tiket yang diperuntukkan kepada Kelab Bolasepak Sri Pahang FC (SPFC) bagi aksi final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) telah terjual setakat ini.
Menurut sumber kelab, daripada jumlah tersebut, sebanyak 8,134 tiket dibeli secara dalam talian, manakala 3,266 tiket lagi dibeli secara pukal oleh penyokong skuad Tok Gajah.
“Masih berbaki 22,200 tiket dan kami yakin peminat setia Sri Pahang akan hadir memberi sokongan padu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini,” katanya.
SPFC turut percaya bahawa kehadiran peminat akan menjadi pembakar semangat kepada pasukan untuk menewaskan skuad Harimau Selatan pada aksi yang dinantikan itu.
Sebelum ini, SPFC memaklumkan bahawa semua tiket hanya dijual secara dalam talian melalui laman web tickethotline, tanpa sebarang jualan fizikal. Harga tiket termasuk caj tambahan dan setiap transaksi dihadkan kepada empat keping.
Empat kategori tiket ditawarkan iaitu RM54.59, RM75.19, RM157.59 dan RM209.09.