JEMPOL – Dua lelaki yang tular selepas dirakam melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam sebuah kenderaan yang pada awalnya dikaitkan dengan seorang imam masjid di Seremban, sebenarnya berlaku di Batu Kikir dan kedua-duanya telah ditangkap polis.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku berhampiran sebuah dewan di Batu Kikir kira-kira pukul 5 petang pada 17 November lalu.
Menurut beliau, laporan polis dibuat di Seremban bertujuan menafikan dakwaan tular yang mengaitkan salah seorang individu dalam video berkenaan sebagai imam di Masjid Paroi.
“Kita telah berjaya mengesan dua individu dalam kereta jenis Perodua Alza tersebut. Pemandu berusia 36 tahun yang merupakan penjawat awam ditangkap malam tadi di daerah ini.
“Hasil siasatan lanjut membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki iaitu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 20 tahun di sekitar Kuala Pilah pagi tadi. Kedua-duanya telah diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika ditemui pemberita pada program pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, hari ini.
Norhisham berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua lelaki itu baru sahaja saling mengenali melalui satu aplikasi media sosial kira-kira dua minggu lalu dan pertemuan tersebut merupakan kali pertama dalam tempoh lebih kurang sejam.
Beliau berkata lagi, kejadian itu dirakam dan ditularkan oleh seorang pemandu lori berusia 39 tahun yang memakir kenderaan di lokasi sama.
“Siasatan kita telah selesai dan kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melanggar kesopanan. Manakala kes melibatkan pemandu lori pula disiasat di Seremban di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya.


