KUALA LUMPUR – “Andai waktu mampu diputarkan semula… saya hanya mahu dia peluk saya” itulah luahan sebak Asyraaf Rifqi Rosli, anak sulung legenda sepak takraw negara, Allahyarham Rosli Abd Rahman, ketika mengenang detik terakhir bersama bapanya.
Bagi Asyraaf, kehilangan ayah yang bukan sahaja seorang mentor dalam sukan tetapi juga tunjang keluarga, meninggalkan kesedihan yang sukar digambarkan.

Asyraaf menceritakan saat beliau menerima berita mengejutkan tentang pemergian ayahnya. Ketika itu beliau baru pulang daripada sesi latihan dan dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Saya dapat tahu ayah pengsan dan dimasukkan ke hospital. Selang beberapa minit, ibu pula beritahu… ayah dah tak ada. Masa itu memang terkejut, tak fikir apa-apa,” katanya ketika sesi temu bual bersama astro arena.
Asyraaf mengakui pemergian ayahnya amat sukar diterima kerana arwah sepatutnya hadir menyokongnya dalam perlawanan bola sepak pada keesokan hari.
“Minat saya sebenarnya cenderung kepada bola sepak. Sepak takraw ini dulu ada main sikit, tapi jadikan hobi. Ayah selalu sokong saya main bola. Kadang-kadang dia bawa saya ikut latihan KL sebab katanya asas takraw pun boleh pakai dalam bola,” ujarnya.
Tambah Asyraaf, arwah melihat masa depannya dalam sukan bola sepak dan sentiasa menekankan disiplin serta sikap yang baik sebagai kunci menjadi pemain hebat.
“Ayah selalu pesan, kalau latihan rasa tak cukup, buat lebih. Dia kata itu yang bantu kita dalam game nanti,” jelasnya.

Sebagai anak lelaki sulung, amanah yang ditinggalkan oleh arwah ayahnya kini menjadi kekuatan untuk beliau menjaga keluarga.
“Ayah selalu pesan balik tengok ibu. Sekarang tanggungjawab itu pada saya. Saya janji tak akan abaikan keluarga. Terima kasih untuk 23 tahun ini… terima kasih sebab pimpin saya, jadikan saya manusia berguna, banyak ajar saya tentang baik dan buruk,” katanya.
Asyraaf turut meluahkan bahawa segala kebaikan ayahnya tidak mungkin mampu dibalas, namun beliau bertekad untuk terus berusaha membanggakan keluarga dan meneruskan legasi nilai yang ditinggalkan.
Sebelum ini, media melaporkan Allahyarham Rosli Abd Rahman, bekas pemain dan jurulatih kebangsaan yang juga jurulatih pasukan Kuala Lumpur Thunder (KL Thunder), menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang.
Sepanjang kariernya bersama KL Thunder, Allahyarham dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Liga Sepak Takraw (STL) 2024 dan dikenang sebagai individu penting dalam pembentukan bakat negara termasuk Syahir Rosdi dan Azlan Alias.
Pemergian beliau meninggalkan kesan besar bukan sahaja kepada dunia sepak takraw, tetapi juga kepada keluarga yang selama ini menjadi kekuatan di belakang kejayaannya.
Sumber: Astro Arena


