SEPANG – Orang ramai di sekitar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mungkin dikejutkan dengan kelibat pesawat yang terbang lebih rendah daripada biasa mulai esok, namun keadaan itu sebenarnya sebahagian daripada persiapan pertunjukan udara sempena Gulf Air Grand Prix (GP) Bahrain.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan operasi penerbangan rendah berkenaan akan berlangsung antara 2 hingga 3 petang mulai esok hingga Ahad, meliputi kawasan SIC dan sekitarnya di Sepang, Selangor.
Menurut CAAM, penerbangan itu membabitkan sesi raptai dan pertunjukan udara (fly-past) oleh Gulf Air pada hari perlumbaan Ahad ini.
“Orang ramai di kawasan berkenaan mungkin melihat pesawat terbang pada altitud lebih rendah daripada biasa dan dinasihatkan supaya tidak cemas.
“Operasi ini telah diselaraskan dengan pihak berkuasa berkaitan dan akan dilaksanakan mengikut keperluan keselamatan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, CAAM mengingatkan orang ramai supaya tidak menerbangkan dron tanpa kebenaran di ruang udara yang terjejas sepanjang tempoh acara.
Larangan itu penting bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pesawat yang melakukan penerbangan rendah, selain menjaga keselamatan pengunjung dan penduduk di kawasan sekitar.
“Pengendali yang menerbangkan dron tanpa kebenaran boleh dikenakan siasatan dan tindakan penguatkuasaan mengikut Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 serta undang-undang lain yang berkaitan,” menurut kenyataan tersebut.
CAAM turut meminta pengendali dron mendapatkan kebenaran sewajarnya sebelum menjalankan sebarang penerbangan di kawasan berkenaan.
Ruang udara sekitar SIC perlu dipastikan bebas daripada gangguan bagi membolehkan operasi penerbangan berjalan lancar dan selamat sepanjang penganjuran acara berkenaan.
Sementara itu, SIC kembali menjadi lokasi perlumbaan Formula 1 selepas sembilan tahun apabila dipilih untuk menganjurkan GP Gulf Air Bahrain susulan pembatalan perlumbaan di Bahrain yang dijadualkan berlangsung April lalu berikutan situasi keselamatan di rantau Timur Tengah.
SIC sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia selama hampir dua dekad sejak 1999, dengan edisi 2017 menjadi perlumbaan terakhir selepas kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan penganjuran acara tersebut. – Astro Awani
