PETALING JAYA – Pelakon Mila Mohsin berharap penonton memberi ruang kepadanya dan Aisha Retno untuk menghidupkan watak Gusti Puteri Retno Dumilah dengan pendekatan tersendiri tanpa terlalu terikat dengan perbandingan.
Mila, 29, atau nama sebenarnya Hani Karmila Hani Mohsin, berkata perbezaan antara dirinya dan Aisha sebagai pelakon bukan sesuatu yang perlu dilihat sebagai persaingan, sebaliknya peluang untuk penonton menikmati tafsiran berbeza terhadap watak sama.
“Sudah tentu, asas watak Puteri akan kekal sama. Jalan cerita dan perjalanan emosinya masih berpaksikan kisah asal, begitu juga semangat serta elemen cinta dalam naskhah ini.
“Bagaimanapun, saya dan Aisha adalah dua individu berbeza, begitu juga pendekatan kami sebagai penghibur. Bagi saya, perkara itu sebenarnya menarik kerana penonton berpeluang melihat sisi berbeza daripada watak sama,” katanya menerusi sebuah program audio siar.
Menurut bintang drama Good Boys Go To Heaven itu, perbandingan antara mereka mungkin sukar dielakkan, namun perbezaan latar generasi dan pengalaman hidup boleh memberikan warna tersendiri terhadap watak berkenaan.
“Barangkali ada babak Puteri versi saya menonjolkan emosi tertentu, manakala versi Aisha pula memperlihatkan sisi berbeza. Mungkin saya membawa sedikit sentuhan generasi milenial, sementara Aisha pula lebih dekat dengan jiwa Gen Z.
“Bagi saya, itulah keistimewaannya. Kita tidak sepatutnya melihat perbezaan tersebut sebagai persaingan, sebaliknya peluang untuk menikmati dua tafsiran berbeza terhadap watak sama,” ujarnya.
Mila berkata, tumpuan berlebihan terhadap perbandingan antara kedua-dua pelakon boleh menyebabkan penonton terlepas peluang untuk menghargai pembaharuan yang dibawa dalam pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM).
“Saya berharap orang ramai dapat melihat perkara ini dari sudut tersebut. Sayang sekali apabila masa dihabiskan untuk membandingkan kami, sedangkan mereka sebenarnya boleh teruja melihat dua versi berbeza.
“Sepatutnya kita berkata, ‘Wah, menariknya!’ kerana berpeluang menyaksikan pembaharuan dan pendekatan berbeza. Bukankah itu lebih menyeronokkan?” katanya.
Selepas hampir dua dekad sejak pementasan asal pada 2006, PGLM bakal kembali dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square, Selangor.
Naskhah terbitan Enfiniti itu diterajui Penerbit Eksekutif, Puan Seri Tiara Jacquelina, dengan pendekatan kreatif yang lebih segar dan sinematik bagi menghubungkan nostalgia peminat terdahulu dengan penonton generasi baharu.
Selain Mila dan Aisha yang masing-masing membawakan watak Gusti Puteri Retno Dumilah, watak pahlawan legenda Hang Tuah pula dilakonkan oleh Aqasha. – KOSMO!
