Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMASEMASA27 laporan diterima berhubung kerosakan rumah akibat gegaran pertunjukan udara LIMA'25

27 laporan diterima berhubung kerosakan rumah akibat gegaran pertunjukan udara LIMA’25

- Advertisement -

LANGKAWI – Sebanyak 27 laporan polis telah diterima berhubung kerosakan kediaman penduduk kampung yang dipercayai berpunca daripada gegaran semasa pertunjukan udara sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh memaklumkan bahawa semua laporan yang diterima akan disiasat secara menyeluruh sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Siasatan akan dijalankan terlebih dahulu bagi memastikan punca sebenar kerosakan dan selepas itu barulah ia dirujuk kepada pihak yang bertanggungjawab,” katanya kepada media.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut memberi jaminan bahawa pihak kementeriannya tidak akan mengabaikan aduan penduduk berhubung kerosakan rumah berkaitan penganjuran LIMA’25.

Dalam perkembangan lain, Datuk Fisol turut memaklumkan bahawa sebanyak 9,000 ruang parkir disediakan di sekitar Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan 300 lagi di Resort World Langkawi sebagai kemudahan untuk pengunjung LIMA’25 yang akan dibuka kepada orang awam bermula esok.

“Orang ramai yang ingin menyaksikan pertunjukan udara atau maritim dinasihatkan supaya datang lebih awal untuk mengelakkan kesesakan dan memastikan tempat parkir tersedia,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa sebanyak 35,000 tiket dalam talian telah terjual setakat ini, menggambarkan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.

Bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menjimatkan kos, beliau turut menyarankan pengunjung menggunakan perkhidmatan e-hailing rasmi LIMA’25 iaitu MyCar, yang ditawarkan dengan kadar lebih berpatutan berbanding kenderaan persendirian.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN