Selasa, 8 Julai 2025
UTAMAJENAYAH288 PATI ditahan JIM di Hentian Kajang

288 PATI ditahan JIM di Hentian Kajang

- Advertisement -

KAJANG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan seramai 288 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi besar-besaran yang dijalankan di Pusat Hentian Kajang malam tadi.

Operasi yang bermula jam 7.30 malam itu melibatkan pemeriksaan menyeluruh ke atas enam blok bangunan membabitkan 90 premis, menurut Timbalan Ketua Pengarah Operasi Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha.

“Seramai 1,035 individu diperiksa, terdiri daripada 785 warga asing dan 250 warga tempatan. Hasil pemeriksaan, 288 warga asing ditahan melibatkan 242 lelaki dan 46 wanita berusia antara 18 hingga 60 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mereka yang ditahan terdiri daripada pelbagai negara termasuk Bangladesh (98 lelaki, 1 wanita), Indonesia (19 lelaki, 30 wanita), Myanmar (49 lelaki, 10 wanita), Pakistan (6 lelaki), Nepal (41 lelaki, 5 wanita), India (22 lelaki), Sri Lanka (11 lelaki), dan Sudan (2 lelaki).

Jafri berkata, ini bukan kali pertama serbuan dilakukan di kawasan berkenaan dan JIM akan terus melaksanakan operasi secara berterusan bagi membanteras kehadiran PATI di negara ini.

Dalam operasi yang turut disertai 185 anggota dan pegawai daripada JIM, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), pihak berkuasa turut membongkar aktiviti sebuah kedai mesin judi yang dipercayai dikendalikan oleh seorang wanita warga asing.

“Pemeriksaan lanjut sedang dijalankan untuk mengambil tindakan susulan terhadap kegiatan haram itu,” tambah Jafri.

JIM menegaskan komitmennya dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara dengan mengekang aktiviti pendatang tanpa izin serta jenayah berkaitan warga asing.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN