Selasa, 8 Julai 2025
UTAMANASIONAL5,000 perantau terima baucar minyak RM50 pulang beraya ke Pahang

5,000 perantau terima baucar minyak RM50 pulang beraya ke Pahang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seramai 5,000 perantau anak kelahiran Pahang yang menetap di luar negeri itu menerima baucar minyak bernilai RM50 menerusi program ‘Moh Balik Raya ke Pahang 2025’.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program yang memasuki tahun kedua ini bertujuan menggalakkan anak Pahang pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Anak-anak Pahang perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan negeri dalam usaha membangun dan memajukan negeri ini.

“Pahang akan seiring dengan negeri maju yang lain seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor. Kita harus doakan kesejahteraan negeri kita,” katanya dalam majlis penyerahan baucar berkenaan di Stadium Titiwangsa, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Sekretariat Perantau Anak Pahang (MAHASISWA), Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Pegawai Tadbir Sekretariat Perantau Anak Pahang, Syed Anas Syed Ali, memaklumkan bahawa pihaknya menerima sebanyak 52,471 permohonan bagi tahun ini, namun hanya 5,000 pendaftaran awal yang berjaya menerima baucar tersebut.

“Kita akan teruskan program ini dan berharap lebih ramai perantau Pahang mendaftar untuk mendapat manfaat ini. Dengan cara ini, kita juga dapat mengenal pasti jumlah anak Pahang yang berada di Kuala Lumpur,” katanya.

Seorang penerima baucar, Zuraini Md Zain, 48, yang berasal dari Raub, menyatakan kesyukuran atas inisiatif kerajaan negeri yang dapat membantu meringankan kos perjalanan pulang ke kampung halaman.

“Alhamdulillah, baucar ini boleh digunakan untuk mengisi minyak atau membayar tol. Saya berharap program sebegini dapat diteruskan dan sekiranya ada peruntukan lebih, mungkin jumlah baucar dapat ditingkatkan,” katanya yang menetap di Taman Melawati.

Program ‘Moh Balik Raya ke Pahang’ dijangka akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang bagi memastikan lebih ramai perantau mendapat manfaat dan terus menjalin hubungan erat dengan negeri asal mereka.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN