KUALA LUMPUR – Seramai 62,485 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 ditawarkan untuk menyambung pengajian di institusi pendidikan di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti bagi sesi pengambilan kali ini.
Menurut Pengarah Kanan (Akademik) jabatan tersebut, Dr. Mohd. Daud Isa, daripada jumlah itu, seramai 42,058 pelajar berjaya memperoleh tempat di 36 politeknik manakala 20,427 lagi ditawarkan pengajian di 106 kolej komuniti seluruh negara.
“Secara keseluruhan, sebanyak 131 program pengajian ditawarkan merangkumi satu program asasi, 89 program diploma dan 41 program sijil. Tahun ini juga menyaksikan peningkatan pengambilan untuk Program Asasi Teknologi Kejuruteraan daripada 500 kepada 800 calon di 10 politeknik terpilih,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutupan 7th Malaysian Polytechnic RELASIS Annual Camp di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu, hari ini.
Tambahnya, program asasi yang ditawarkan itu merupakan landasan penting bagi menyediakan pelajar sebelum menyambung pengajian ke institusi di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Politeknik Jeli kini mula menawarkan program baharu iaitu Diploma Teknologi Hijau (Elektrik) yang membabitkan pengambilan seramai 40 pelajar bagi sesi kali ini.
“Politeknik Jeli menjadi institusi kedua selepas Politeknik Port Dickson yang menawarkan program ini. Ia selari dengan usaha menyokong pembangunan teknologi hijau negara,” jelasnya.
Mohd. Daud turut memaklumkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan politeknik kekal melebihi 90 peratus, menunjukkan lulusan institusi tersebut mempunyai peluang pekerjaan yang cerah.