Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMANASIONAL69 rumah banjir di Perak selepas hujan lebat

69 rumah banjir di Perak selepas hujan lebat

- Advertisement -

IPOH – Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Perak sejak tengah malam tadi mengakibatkan sekurang-kurangnya 69 rumah dinaiki air, melibatkan daerah Manjung dan Kinta.

Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Manjung, antara kawasan terjejas di Sitiawan ialah Taman Hijau dengan 10 rumah dan Taman Sri Mawar, Astaka dengan 21 rumah.

Air dilaporkan telah surut sepenuhnya di kedua-dua kawasan tersebut.

“Hujan lebat yang bermula sejak 12 tengah malam menyebabkan air dari longkang dan parit melimpah serta memasuki kediaman penduduk,” menurut kenyataan PKOD.

Turut terjejas ialah empat rumah di Kampung Batu 3 dan lima rumah di Kampung Batu 5, Segari, yang dinaiki air akibat limpahan parit sejak jam 2 pagi.

Namun, paras air dilaporkan semakin surut.

Di Pangkor, dua rumah di Kampung Padang Tembak turut dinaiki air, namun keadaan dilaporkan terkawal.

Sementara itu, 15 rumah di Kampung Teluk Kechil, Kampung Masjid, Kampung Sungai Pinang Besar dan Taman Pangkor Indah, Teluk Bharu, juga mengalami banjir.

Seramai 22 mangsa telah dipindahkan sementara ke Masjid Kampung Teluk Raja Bayang manakala 17 lagi ditempatkan di Surau Al Amir, Kampung Teluk Kechil.

Cuaca di kawasan berkenaan kini dilaporkan mendung dengan keadaan banjir semakin pulih.

Sementara itu, di Batu Gajah, 12 rumah di Kampung Nala, Tronoh, turut terjejas apabila hujan lebat berterusan selama dua jam awal pagi tadi menyebabkan Sungai Bangkong melimpah.

PKOD APM Daerah Kinta memaklumkan bahawa punca limpahan disebabkan oleh saiz culvert di Jalan Siputeh-Parit yang terlalu kecil dan tidak mampu menampung jumlah air yang banyak, selain turut tersumbat dengan sampah sarap.

Dalam kejadian berasingan di Kampung Salak, Trong dekat Taiping, seorang lelaki warga emas orang kurang upaya (OKU) berusia 70 tahun diselamatkan oleh anggota bomba selepas rumahnya dinaiki air sedalam 0.8 meter akibat banjir kilat.

Operasi menyelamat tamat pada jam 12.35 tengah malam.

Keadaan cuaca kini masih dalam pemantauan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk di kawasan terjejas.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN