Selasa, 8 Julai 2025
UTAMASEMASA75,000 penumpang dijangka guna perkhidmatan feri sepanjang LIMA’25

75,000 penumpang dijangka guna perkhidmatan feri sepanjang LIMA’25

- Advertisement -

LANGKAWI – Sebanyak 16,116 tiket feri telah terjual bagi perjalanan keluar masuk ke Langkawi sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei depan.

Menurut Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. (Ferry Line), Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid, tiket-tiket tersebut dibeli melalui kaunter dan secara dalam talian, dengan anggaran seramai 75,000 penumpang dijangka menggunakan perkhidmatan itu sepanjang lima hari penganjuran LIMA’25.

“Sebanyak 31 perjalanan masuk dan keluar dari Langkawi dijadualkan setiap hari, menjadikan jumlah keseluruhan 155 perjalanan sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Tambah beliau, Jabatan Laut telah memberi kelulusan kepada feri untuk beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam, dan jumlah perjalanan boleh ditambah sekiranya permintaan meningkat.

Bagaimanapun, katanya, aspek keselamatan terutama perjalanan pada waktu malam menjadi perhatian kerana risiko lebih tinggi, termasuk kemungkinan tersangkut tali atau terlanggar objek keras berkaitan kapal korek.

“Langkah kesiapsiagaan operasi pada waktu malam akan sentiasa dipertingkatkan bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, kerja-kerja pengerukan untuk mendalamkan alur pelayaran dijangka siap sepenuhnya sebelum acara LIMA’25 bermula, bagi memastikan kelancaran operasi feri sepanjang pameran berlangsung.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN