PM Anwar umum pelbagai inisiatif rakyat, hadiah istimewa sempena Hari Malaysia

PUTRAJAYA — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa inisiatif penting sebagai tanda penghargaan Kerajaan Perpaduan MADANI kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan berterusan terhadap agenda pemulihan dan reformasi negara.

Antara pengumuman utama yang disampaikan termasuk pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara one-off kepada semua rakyat dewasa berusia 18 tahun ke atas. Bantuan tunai ini, yang akan dikreditkan terus ke dalam MyKad mulai 31 Ogos 2025, mencipta sejarah sebagai bantuan pertama yang disalurkan kepada keseluruhan rakyat dewasa tanpa mengira latar belakang.

“Ini bukan sekadar bantuan, tetapi simbol penghargaan atas kesetiaan dan semangat kebersamaan rakyat dalam usaha memulihkan negara,” kata Perdana Menteri.

Sebagai tambahan, kerajaan turut mengisytiharkan Isnin, 15 September 2025 sebagai hari kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia, sebagai meraikan ikatan kukuh antara rakyat pelbagai kaum dan wilayah.

Dalam usaha meringankan beban kos sara hidup, kerajaan menggandakan peruntukan Jualan Rahmah MADANI kepada RM600 juta, sekali gus memperluas capaian jualan barangan asas harga rendah ke semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Turut diumumkan, tiada sebarang kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya utama, dengan kerajaan memperuntukkan lebih RM500 juta bagi menampung kos konsesi. Dalam langkah yang mengejutkan ramai, harga petrol RON95 juga diturunkan kepada RM1.99 seliter, satu penurunan ketara yang bakal memberi kesan langsung kepada jutaan pengguna kenderaan.

“Sejak hari pertama, saya berpegang kepada prinsip bahawa setiap dasar, keputusan dan perbelanjaan harus mengangkat darjat dan martabat rakyat,” ujar Anwar.

Langkah-langkah ini disambut positif oleh pelbagai lapisan masyarakat yang melihatnya sebagai tanda komitmen kerajaan untuk terus mendahulukan rakyat dalam segala aspek pentadbiran.

BACA JUGA:  "Jauh bah dia pigi belajar, tapi kami doa hari-hari", ibu sebak tengok anak berjaya genggam ijazah
Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...