Filem ‘Abah Saya, Uncle Mike’ buat penonton sebak, ramai menangis dalam pawagam

KUALA LUMPUR – Malam gala tayangan perdana filem Abah Saya, Uncle Mike bertukar menjadi detik penuh emosi apabila ramai penonton tidak dapat menahan air mata, sebelum bangkit memberikan tepukan gemuruh sebaik sahaja layar ditutup, malam tadi.

Filem arahan sulung Ezrie Gazali ini bukan sekadar sebuah karya drama keluarga, tetapi kisah benar yang menyentuh hati tentang pengorbanan Michael Tong Wai Siong atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike.

Lelaki berbangsa Cina itu membesarkan tiga anak angkat Muslim, Rafie Ahmad Fauzi serta dua adiknya, Rasyid dan Abdul Rahman dengan penuh kasih sayang tanpa batasan bangsa dan agama.

Kisah inspirasi Uncle Mike yang pernah menjadi bualan hangat rakyat Malaysia sejak 2008 kini diangkat ke layar perak menerusi kerjasama Astro Shaw bersama jenama 7 Up dan Mirinda.

“Kisah Uncle Mike mencerminkan nilai sebenar masyarakat majmuk Malaysia. Kami berani tampilkan drama penuh emosi ini di kala pasaran lebih banyak dipenuhi filem aksi dan seram,” kata Ketua Astro Shaw merangkap penerbit eksekutif, Raja Jastina Raja Arshad.

Pelakon utama, Andy Teh, yang membawakan watak Uncle Mike mengakui cabaran besar kerana dirinya sering dikenali dengan peranan antagonis.

“Saya ambil masa lebih sebulan untuk benar-benar menjiwai watak ini. Saya banyak luangkan masa bersama Uncle Mike sendiri dan mendekatkan diri dengan ibu bapa saya, supaya dapat faham jiwa seorang ayah,” katanya ketika ditemui MYBERITA di Mid Valley, di sini malam tadi.

Usahanya nyata berhasil apabila Uncle Mike sendiri menilai lakonan Andy sebagai “10 daripada 10”.

Idan Aedan yang melakonkan watak Rafie pula menyifatkan pengalaman di set penggambaran sebagai kenangan paling berharga.

“Hubungan kami sangat rapat, seperti keluarga sebenar. Saya harap penonton terinspirasi untuk menzahirkan kasih sayang tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Bagi Andy Teh, intipati filem ini boleh diringkaskan dengan satu perkataan sahaja, cinta.

BACA JUGA:  Koperal polis maut dirempuh ketika cuba halang penjenayah pecah rumah

“Cinta mampu menembusi segala batasan dan mengatasi setiap cabaran. Filem ini adalah bukti nyata dari Malaysia,” katanya penuh emosi.

Uncle Mike sendiri menutup malam tayangan dengan pesanan ringkas tetapi sarat makna.

“Jangan pernah takut untuk melakukan kebaikan.”

Filem ‘Abah Saya, Uncle Mike’ bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos ini.

Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...