KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada parti itu selepas Lembaga Disiplin membuat keputusan menggugurkan hak-hak keahliannya berkuat kuasa hari ini.
Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan tersebut telah dimaklumkan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan dibuat selaras dengan peruntukan dalam perlembagaan parti.
Menurutnya, Lembaga Disiplin memutuskan bahawa Hamzah dipecat hak-hak keahlian di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
“Ia berkuat kuasa mulai 13 Februari 2026 kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan desakan supaya tindakan tegas diambil terhadap Hamzah semakin memuncak apabila Sayap Bersekutu parti itu turut menggesa agar Timbalan Presiden berkenaan dipecat.
Desakan tersebut disuarakan menerusi memorandum yang dihantar kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin serta ahli-ahli MPT, yang ditandatangani oleh 16 pemimpin Sayap Bersekutu di peringkat pusat dan negeri.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Hamzah berhubung keputusan pemecatan tersebut.

