MELAKA – Seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta selepas baru keluar dari Hospital Melaka untuk dibawa pulang oleh anak lelakinya, di kawasan parkir Taman Tasik Utama, di sini semalam.
Wanita berusia 69 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri di tempat duduk penumpang hadapan kereta Proton Saga kira-kira jam 3.30 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, mangsa sebelum itu menerima rawatan di Hospital Melaka kerana mengalami retak bahu kiri akibat terjatuh di rumah.
“Mangsa mendapatkan rawatan kerana retak bahu kiri akibat terjatuh di rumah. Anak lelaki mangsa yang berusia 44 tahun menerima panggilan telefon daripada Hospital Melaka pada jam 1.50 tengah hari untuk membawa pulang wanita itu yang memakai pakaian hospital kerana tiada pakaian ganti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, anak mangsa tiba di kawasan parkir berkenaan kira-kira jam 2.50 petang, namun mangsa dikatakan enggan keluar dari kereta.
Katanya, kira-kira 40 minit kemudian, jiran mangsa berusia 47 tahun mendapati wanita itu tidak sedarkan diri dengan sebelah kakinya berada di luar kenderaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati tiada kecederaan yang mencurigakan dan setakat siasatan dijalankan, tiada unsur jenayah dikesan,” katanya.
Halim berkata, mangsa turut mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, manakala bedah siasat dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka hari ini bagi mengenal pasti punca kematian. – Sinar Harian
