Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMANASIONALAaron-Wooi Yik bawa balik emas

Aaron-Wooi Yik bawa balik emas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mencipta sejarah apabila meraih gelaran sulung mereka di Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas menewaskan wakil tuan rumah, Chen Bo Yang dan Liu Yi, dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo, semalam.

Turun selaku pilihan keenam kejohanan, Aaron-Wooi Yik tampil tenang dan tidak goyah meskipun berdepan sorakan kuat penyokong tuan rumah.

Mereka menundukkan pasangan bukan pilihan itu dengan keputusan straight set 21-19, 21-17.

Kejayaan itu menyaksikan mereka menjadi gandingan beregu lelaki pertama Malaysia memenangi kejohanan BAC sejak gandingan legenda Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menjuarainya pada tahun 2007.

Aksi final menyaksikan persaingan sengit, terutama dalam set pertama apabila pasangan China bangkit menyamakan kedudukan 15-15 selepas ketinggalan 0-3.

Namun Aaron-Wooi Yik kekal konsisten untuk menamatkan set dengan kemenangan 21-19.

Dalam set kedua, pasangan negara ketinggalan 9-11 pada permulaan sebelum mengatur semula rentak permainan dan bangkit mendahului 19-15.

Smash bertenaga daripada Aaron kemudiannya menamatkan aksi dengan kemenangan 21-17.

Kejayaan kali ini cukup manis bagi Aaron-Wooi Yik selepas kekecewaan di pentas sama dua tahun lalu apabila mereka tewas di final kepada pasangan Indonesia, Pramudya Kusuma dan Yeremia Rambitan.

Lebih membanggakan, pasangan negara tidak kehilangan sebarang set sepanjang kejohanan, termasuk kejutan menyingkirkan pilihan kedua dan pasangan utama tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang dengan keputusan 21-12, 21-14 di separuh akhir.

Sebagai juara BAC 2025, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,000 (kira-kira RM164,000) manakala pasangan tuan rumah selaku naib juara menerima AS$17,500 (sekitar RM77,000).

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN