ROMPIN – Amalan penggunaan stapler atau dawai kokot dalam pembungkusan makanan masih dikesan dalam kalangan peniaga makanan, meskipun ia boleh mengundang risiko kesihatan kepada pengguna.
Tinjauan MYBERITA di Bazar Ramadan Muadzam Shah, Pahang, mendapati beberapa peniaga masih menggunakan dawai kokot untuk membungkus makanan, walaupun kaedah ini telah dilarang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana boleh membahayakan pengguna jika tertelan.
Seorang pelanggan yang ditemui MYBERITA menyuarakan kebimbangannya terhadap isu ini dan menyokong larangan yang dikeluarkan oleh KKM.
“Pada pandangan saya, arahan KKM untuk melarang penggunaan stapler sangat baik. Saya rasa peniaga yang masih menggunakannya kurang kesedaran dan lebih mementingkan kemudahan sendiri,” katanya.
“Pernah berlaku pada saya sendiri, di mana saya menemui dawai kokot yang tertanggal dalam makanan saya. Ini sangat bahaya,” tambahnya lagi.
Beliau mencadangkan agar pihak berkuasa mempertingkatkan kesedaran dalam kalangan peniaga melalui sebaran media massa serta melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan lebih ketat.
Seorang lagi pelanggan, turut berkongsi kebimbangannya mengenai penggunaan dawai kokot dalam pembungkusan makanan, terutama bagi kanak-kanak.
“Para peniaga perlu lebih peka. Jika dawai kokot itu tertelan oleh budak-budak, ia boleh membahayakan mereka,” katanya.
“Sekarang ini ada banyak alternatif lain seperti pita pelekat atau getah. Pihak berkuasa perlu lebih kerap membuat rondaan dan memantau peniaga,” tambahnya.
Sementara itu, terdapat juga peniaga yang lebih bertanggungjawab dan memilih kaedah pembungkusan yang lebih selamat. Seorang peniaga kuih-muih berkata beliau mengelakkan penggunaan stapler kerana sedar akan bahayanya.
“Dawai kokot memang bahaya. Kita tidak mahu pelanggan termakan secara tidak sengaja,” katanya.
“Sebab itu saya gunakan getah atau bekas makanan yang lebih selamat. Walaupun kosnya sedikit tinggi, ia lebih baik untuk keselamatan pelanggan,” ujarnya.
Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan disarankan untuk meningkatkan pemantauan bagi memastikan semua peniaga mematuhi garis panduan keselamatan makanan. Tindakan tegas termasuk kompaun perlu dikenakan kepada mereka yang masih menggunakan dawai kokot dalam pembungkusan makanan.
Orang ramai juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika membeli makanan di bazar Ramadan dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika mendapati ada peniaga yang masih menggunakan bahan pembungkusan berisiko.