KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Adira Suhaimi, tampil memberikan penjelasan mengenai dakwaan yang timbul berikutan hantaran yang dibuat oleh bekas madu, Sharifah Norshafila Hashim.
Norshafila sebelum ini mendakwa pernah terlibat dalam insiden pergaduhan dengan seseorang di kediamannya. Menurut Adira, dia tidak tahu-menahu mengenai dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa dia bukanlah individu yang dimaksudkan oleh bekas madu itu.
“Saya tidak tahu langsung tentang apa yang dikongsikan dalam posting tersebut. Yang pasti, orang yang pernah bergaduh itu bukan saya. Memang bukan saya. Kalau nak kepastian, tanya sahaja kepada orang yang membuat kenyataan itu,” jelas Adira dengan tenang ketika ditemui pada sidang media Konsert MeleTOP, TVS pada Selasa.
Penyanyi yang kini berusia 33 tahun itu turut menambah bahawa dia sentiasa terbuka untuk membina hubungan baik dengan sesiapa sahaja dan akan melayan mereka dengan penuh hormat.
“Saya terbuka untuk menjalin hubungan yang baik dengan siapa saja. Saya akan layan mereka dengan sebaik mungkin, insya-Allah. Apa yang penting, kita menjaga hubungan sesama manusia agar hidup lebih tenang,” katanya lagi.
Sebelum ini, Sharifah Norshafila, melalui Instagram Story, mendedahkan bahawa dia pernah mencakar seorang wanita di rumahnya, malah mengakui turut terajang wanita itu.
“Zaman muda saya penuh dengan semangat pahlawan. Tak hanya cakar, saya terajang sampai terpelanting,” tulis Norshafila dalam hantaran yang dipercayai merujuk kepada peristiwa lama.
Insiden tersebut mendapat perhatian ramai selepas Norshafila mengaitkan kisah itu dengan situasi yang melibatkan pempengaruh media sosial Jofliam, isteri Dewi, dan bekas isteri Cik Epal yang baru-baru ini tular akibat pergaduhan mereka.