KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dijangka mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Rusia pada bulan Ogos ini.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Nur Jazlan Mohamed dalam satu pertemuan bersama Senator Kanan Rusia bagi Hal Ehwal Luar, Grigory Karasin, seperti dilaporkan agensi berita Sputnik dan RIA Novosti pada Selasa.
“Insya-Allah, Yang di-Pertuan Agong Malaysia akan melawat Rusia pada Ogos,” kata Nur Jazlan.
Dalam pertemuan sama, beliau turut memaklumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang bertanggungjawab dalam bidang tenaga dan sumber air, juga dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Rusia pada penghujung Jun ini.
Lawatan-lawatan ini dijangka mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia, khususnya dalam bidang diplomatik serta kerjasama ekonomi dan tenaga.