JOHOR BAHRU – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama beberapa pegawai kanan Kerajaan Negeri Johor di Istana Pasir Pelangi, di sini.
Menurut hantaran di laman rasmi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sesi menghadap itu berlangsung dalam suasana mesra dan penuh tertib, mencerminkan hubungan erat antara Seri Paduka Baginda dan kepimpinan negeri.
Turut serta dalam sesi tersebut ialah Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pembangunan), Datuk Asman Shah Abd. Rahman; serta Pengarah Tanah dan Galian Johor, Mohammed Shakib Ali.
Pertemuan tersebut menzahirkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap perkembangan pentadbiran negeri Johor dan kesejahteraan rakyatnya. Ia juga memberi ruang untuk perbincangan mengenai pelbagai isu dan inisiatif pembangunan negeri secara lebih dekat.
Sultan Ibrahim yang terkenal dengan kepekaan terhadap kebajikan rakyat baginda, sentiasa menekankan kepentingan kerjasama erat antara institusi diraja dan kerajaan negeri demi kemajuan Johor.