KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia malam tadi.
Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa dukacita dan menitipkan doa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
“Al-Fatihah. Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri kelima.
“Sesungguhnya kami ialah milik Allah S.W.T dan kepadaNYA kami kembali,” titah Baginda menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Tun Abdullah Ahmad Badawi menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, pada usia 86 tahun.
Perkara itu disahkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin melalui satu hantaran di ruangan Instagram Story miliknya.
Tun Abdullah yang mesra dikenali sebagai ‘Pak Lah’, pernah menerajui kepimpinan negara dari tahun 2003 hingga 2009, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad. Sepanjang pentadbirannya, beliau dikenang sebagai pemimpin yang sederhana, berhemah tinggi dan menekankan konsep Islam Hadhari sebagai teras pembangunan negara.
Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat negara.