Selasa, 8 Julai 2025
UTAMANASIONALAI perlu diselaraskan di universiti – PM Anwar

AI perlu diselaraskan di universiti – PM Anwar

- Advertisement -

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyelaras program pengajian berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) di semua universiti awam dan swasta seluruh negara.

Menurut beliau, penguasaan dalam bidang AI kini bersifat kritikal seperti mana keperluan kepada mesin dan komputer ketika era revolusi industri, khususnya ketika negara berdepan kekurangan tenaga kerja jurutera.

“AI adalah bidang masa depan yang perlu diberi keutamaan. Saya telah minta KPT untuk menyelaraskan usaha ini di semua institusi pendidikan tinggi,” katanya dalam program Temu Anwar di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama tidak seharusnya hanya tertumpu kepada universiti awam semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan institusi swasta yang mempunyai kepakaran.

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi memperluas pendidikan berkaitan AI. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga menjadi universiti pertama menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan di negara ini.

Anwar turut menyarankan agar pelajar tempatan menguasai AI dengan menerapkan nilai, budaya dan sejarah tempatan ke dalam sistem teknologi tersebut supaya ianya selari dengan identiti Malaysia.

“AI ini akan memproses dan menyampaikan semula maklumat. Maka penting anak-anak kita mengisi sistem ini dengan ilmu yang mengandungi nilai dan fahaman kita sendiri,” katanya.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN