KUALA LUMPUR – Penyanyi, Aina Abdul menyifatkan detik berdiri sepentas dengan penyanyi tersohor Indonesia, Melly Goeslaw dalam konsert Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite baru-baru ini sebagai pengalaman penuh emosi yang tidak seharusnya diraikan secara berlebihan.
Disanjung sebagai “penyelamat konsert” oleh netizen susulan persembahannya yang memukau menerusi lagu Cinta, Aina atau nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani, 32, tampil merendah diri dan menegaskan bahawa tumpuan sebenar harus kekal kepada Melly yang tetap komited menghibur meskipun sedang bergelut dengan masalah kesihatan.
“Saya tak mahu bersorak atas pujian itu kerana saya tahu keadaan sebenar. Melly tak sihat malam itu, tapi dia tetap profesional dan teruskan persembahan,” katanya ketika ditemui selepas majlis sidang media Raise The Star Malaysia di ibu negara, semalam.
Menurut Aina, keadaan Melly atau nama penuhnya Meliana Cessy Goeslaw, 51, sudahpun merosot sejak beberapa hari sebelum konsert berlangsung pada 31 Mei lalu.
“Saya nampak sendiri keadaannya di belakang pentas. Selama dua, tiga hari dia bertarung dengan kesihatan. Tapi dia tetap cuba gembirakan semua. Niat kami hanya satu – nak ‘sing-along’ bersama peminat, dan saya rasa kami berjaya,” ujarnya.
Aina yang terkenal dengan vokal penuh emosi dalam lagu Kamu turut mendoakan agar Melly segera sembuh dan terus berkarya demi peminat yang merindukan karya-karya ikoniknya.
Mengulas soal tularnya persembahan tersebut yang membuka mata ramai terhadap bakat nyanyiannya, Aina mengaku tidak menyangka dirinya akan menerima gelombang penghargaan sebegitu besar selepas beberapa bulan merasa dipinggirkan.
“Saya ingat ramai dah tak suka saya sejak AJL39. Perkara itu ganggu saya sangat, sebab itu saya bawa diri ke seberang untuk cari semula semangat berkarya.
“Tapi bila dapat sambutan positif sebegini, saya anggap ia sebagai hikmah di sebalik kesedihan. Hati yang tulus, lambat-laun akan diterima juga,” katanya penuh rasa syukur.
Untuk rekod, konsert Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite sebelum ini menerima kritikan berikutan persembahan Melly yang dilihat tidak mencapai jangkaan. Namun, kemunculan Aina Abdul sebagai penyanyi undangan berjaya mencuri perhatian dan memberi nafas segar pada malam tersebut.