SEPANG – AirAsia sekali lagi membanggakan Malaysia apabila dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia di Anugerah Skytrax World Airline 2025, menandakan kemenangan tahun ke-16 berturut-turut dalam kategori berprestij itu.
Pengiktirafan antarabangsa ini sekali gus membuktikan komitmen syarikat penerbangan itu dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti dan berpatutan kepada setiap penumpang, tidak kira destinasi mahupun bajet.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu detik yang menyentuh hati dan menjadi inspirasi kepada seluruh warga kerja AirAsia, yang dikenali sebagai Allstars.
“Kemenangan ini benar-benar menyentuh hati saya yang hanya menerbangkan 200,000 tetamu pada tahun pertama dan kini mensasarkan untuk menyambut tetamu ke satu bilion pada tahun ini.”
“Perjalanan ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan padu daripada semua penumpang serta dedikasi berterusan Allstars yang luar biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kejayaan ini juga adalah hasil daripada kepercayaan dan kesungguhan pasukannya yang terus mengharungi cabaran industri sepanjang tempoh beroperasi.
Anugerah tersebut diterima oleh Pengerusi Capital A merangkap Pengasas Bersama AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun semasa Paris Air Show 2025 yang berlangsung di Perancis semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax, Edward Plaisted berkata, pencapaian cemerlang AirAsia selama 16 tahun membuktikan model perniagaan syarikat itu kekal relevan dan terus berkembang dalam pasaran yang amat kompetitif.
“Pasaran syarikat penerbangan tambang rendah amat kompetitif dan terus berkembang pesat, dan anugerah ini membuktikan kejayaan AirAsia.
“Ia juga mengiktiraf usaha AirAsia dalam menghubungkan bandar utama serta bandar-bandar kedua dan ketiga yang kurang mendapat perhatian,” katanya.
AirAsia turut dipuji atas inisiatif membuka laluan strategik dan unik seperti Kuala Lumpur-Labuan Bajo, Bangkok-Narathiwat, Manila-Tagbilaran dan Jakarta-Silangit, yang memperluas akses kepada pelbagai destinasi baharu di rantau Asia.
Anugerah Skytrax World Airline merupakan antara pengiktirafan paling berprestij dalam industri penerbangan global, dengan kajian dilakukan secara dalam talian dari September 2024 hingga Mei 2025, melibatkan lebih 22.3 juta penyertaan dari 100 negara. Sebanyak 325 syarikat penerbangan disenaraikan dalam hasil kajian tahun ini.