SEPANG – AirAsia hari ini melancarkan rekaan pesawat khas berwarna emas sempena meraikan kemenangan ke-16 berturut-turut sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia di Anugerah Skytrax World Airline 2025.
Pesawat berwarna emas yang dinamakan sebagai simbol “Still Winning, Still Gold” itu diperkenalkan dalam satu majlis pelepasan istimewa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2), menandakan kejayaan luar biasa syarikat itu dalam industri penerbangan sejak dua dekad lalu.

Rekaan istimewa ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan dan ketahanan, malah menjadi penghargaan kepada hampir satu bilion tetamu yang telah memilih AirAsia sebagai pilihan perjalanan udara sejak penubuhannya pada tahun 2001. Ia turut memperlihatkan evolusi jenama AirAsia daripada rona merah dan putih ikonik kepada sentuhan emas yang melambangkan kecemerlangan dan kejayaan berterusan.
Selain bahagian luar pesawat yang menarik perhatian, kabin dalam juga menerima sentuhan elemen keemasan bagi meningkatkan lagi pengalaman penerbangan pelanggan.

Sebagai sebahagian daripada sambutan kemenangan ini, AirAsia melancarkan kempen istimewa yang menawarkan tambang nilai hebat setiap hari. Ini termasuk jualan eksklusif Golden Hour dari jam 4 petang hingga 7 malam selama 16 hari berturut-turut, bermula hari ini hingga 3 Julai 2025.
Pengembara boleh menikmati tambang promosi ke pelbagai destinasi menarik seperti Johor Bahru, Kota Kinabalu, Da Lat, Krabi, Jaipur dan banyak lagi, bagi perjalanan antara 2 Julai 2025 hingga 31 Mac 2026 menerusi aplikasi AirAsia MOVE atau laman rasmi airasia.com.
Tambang promosi ini termasuk caj perkhidmatan penumpang, caj kawal selia, surcaj bahan api dan fi berkaitan lain, dan hanya sah untuk penerbangan terpilih serta tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.
Dengan pelancaran pesawat emas ini, AirAsia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri penerbangan tambang rendah, sambil mengekalkan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia pada harga mampu milik kepada semua.