SUNGAI DUA – Pokok rhu (Casuarina equisetifolia) lazimnya menjadi simbol ketenangan dan kehijauan pesisir pantai, namun penanaman spesies ini di kawasan kampus universiti sebenarnya boleh membawa risiko keselamatan jika tidak dikawal.
Isu ini mendapat perhatian apabila beberapa pokok rhu di sekitar pagar dan stadium Universiti Sains Malaysia (USM) telah ditebang, mencetuskan persoalan dalam kalangan pelajar mengenai komitmen institusi terhadap kelestarian alam sekitar.
Menjawab persoalan tersebut, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) melalui wakilnya, Nur Sumaiyah Safiah Noor Rashid, tampil memberikan penjelasan sewaktu MPP Question Time (MPPQT) yang berlangsung sempena Parlimen Mahasiswa Siri 2, Sidang Akademik 2024/2025, di kampus induk USM.
Ketika ditanya oleh ahli parlimen mahasiswa mengenai tindakan menebang pokok-pokok rhu berkenaan, Nur Sumaiyah menjelaskan bahawa langkah itu diambil atas faktor keselamatan, bukannya keputusan sewenang-wenangnya.
“Pokok rhu sebenarnya tidak sesuai ditanam di kawasan seperti berhampiran pagar dan laluan awam dalam kampus kerana akarnya yang menjalar kuat boleh merosakkan permukaan jalan, longkang dan struktur saliran bawah tanah. Selain itu, dahan-dahannya juga mudah patah apabila ditiup angin kencang, yang sekali gus boleh membahayakan pejalan kaki dan pengguna jalan raya,” tegasnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh sebahagian mahasiswa, “Mengapakah pokok di sekitar pagar dan stadium ditebang? Bukankah universiti sepatutnya menjaga kelestarian dengan mengawal jumlah kereta, bukannya menebang pokok?”.
Menurut Nur Sumaiyah, universiti sentiasa mengambil kira aspek kelestarian dalam dasar pembangunan kampus. Namun, dalam kes ini, penebangan dibuat berdasarkan penilaian keselamatan oleh pihak teknikal kampus, dan tidak menjejaskan komitmen institusi terhadap pemuliharaan alam sekitar.
“Langkah ini bukan menolak prinsip kelestarian, sebaliknya merupakan tindakan pencegahan. Jika berlaku insiden seperti dahan tumbang menimpa pelajar, isu keselamatan akan dipersoalkan pula,” jelasnya lagi semasa sesi MPPQT tersebut.
Dalam konteks alam sekitar, pokok rhu memang sangat berguna di kawasan pesisir pantai kerana keupayaannya mengawal hakisan dan bertindak sebagai penghadang angin semula jadi. Namun, ia tidak sesuai ditanam berhampiran kawasan pembangunan atau struktur binaan disebabkan akarnya yang agresif dan berisiko tinggi merosakkan kemudahan awam.
Parlimen Mahasiswa USM berperanan sebagai medium rasmi mahasiswa untuk mengutarakan pandangan secara demokratik kepada pengurusan universiti. Sesi MPP Question Time (MPPQT) menjadi platform penting untuk mahasiswa mendapatkan penjelasan terus daripada wakil MPP dalam suasana yang terbuka dan telus.