SEPANG – Pengacara, pelawak dan pelakon, Along Cham tetap bersyukur kerana masih menerima kepercayaan dalam bidang pengacaraan walaupun berdepan ujian peribadi termasuk isu mahkamah.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, berkata meskipun tawaran lakonan berkurangan, rezekinya dalam bidang pengacaraan masih berterusan.
“Alhamdulillah, bidang pengacaraan masih ada yang percaya saya. Bila saya bekerja, saya tetap beri yang terbaik. Tapi dalam lakonan, semua pelakon tahu industri tak sekuat dulu… sekarang ramai tengok wayang di rumah,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Majistret Sepang, semalam.
Tambahnya, dia tidak berdepan masalah dengan pelanggan yang masih mempercayai kredibilitinya di pentas.
“Setakat ini pelanggan okay. Yang banyak menghakimi hanyalah netizen. Tapi media dan pihak penganjur masih beri saya peluang. Saya tetap berdiri tegak dari pagi sampai malam untuk acara, sebab kerja tetap kerja,” ujarnya.
Along juga aktif menghasilkan kandungan digital dan tidak pernah culas menjalankan tanggungjawab sebagai pengacara.
“Periuk nasi saya adalah mikrofon. Doakan agar segalanya dipermudahkan,” katanya penuh harapan.
Dalam masa sama, Along turut menerima sokongan moral daripada rakan-rakan artis termasuk Sharnaaz Ahmad, Angah Raja Lawak dan Didie Alias.
“Saya bersyukur dengan sokongan mereka. Mereka tahu siapa saya sebenarnya. Saya cuma perlu kuat hadapi apa yang diperkatakan orang luar,” ujarnya lagi.
Semalam, Along hadir ke Mahkamah Majistret Sepang bagi sebutan semula kes melibatkan pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 1.49 gram di sebuah rumah di Cyberjaya pada 14 Disember lalu.
Mahkamah menetapkan 24 April ini sebagai tarikh serahan dokumen bagi laporan urin.