Khamis, 17 Julai 2025
UTAMASEMASAAmad Diallo didakwa tunjuk isyarat lucah lepas United kalah di Bukit Jalil

Amad Diallo didakwa tunjuk isyarat lucah lepas United kalah di Bukit Jalil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Suasana meriah di perkarangan sebuah hotel terkemuka di ibu negara bertukar tegang apabila bintang muda Manchester United, Amad Diallo didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada sekumpulan penyokong susulan kekalahan mengejut pasukannya kepada Asean All-Stars pada aksi persahabatan Maybank Challenge Cup, malam Rabu.

Insiden memalukan itu dikatakan berlaku sejurus tamat perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menyaksikan skuad kendalian Erik ten Hag tewas tipis 0-1 kepada pasukan pilihan Asia Tenggara tersebut.

Kekalahan itu nyata mengejutkan penyokong The Red Devils yang membanjiri stadium, dan suasana bertambah panas apabila sebilangan daripada mereka mula melaungkan ejekan dan cemuhan terhadap pemain.

Dalam kekecohan itu, Diallo, 21, dilaporkan membalas provokasi dengan mengangkat jari tengah yang rata-rata netizen menganggap ianya satu tindakan yang sempat dirakam oleh penyokong dan kini tular di media sosial.

Tindakan tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak, yang rata-rata menyifatkan perbuatan pemain antarabangsa Ivory Coast itu sebagai tidak profesional dan mencemarkan imej kelab tersohor dunia.

“Sebagai pemain Manchester United, dia seharusnya tahu batasnya. Kalau ditegur atau dikritik, itu lumrah. Tapi bila dia bertindak begini, ia menjejaskan nama kelab,” kata seorang penyokong tegar United yang enggan namanya didedahkan.

Dalam perlawanan tersebut, Diallo turut gagal menampilkan aksi meyakinkan apabila beberapa hantaran dan larian pantasnya sering kali berakhir dengan ofsaid, sekali gus menyukarkan usaha United memburu gol penyamaan.

Sekalipun pernah dianggap sebagai antara bakat muda paling menjanjikan di Old Trafford, tindakan Diallo malam tadi telah merencatkan persepsi positif peminat terhadapnya.

Pihak Manchester United setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN