KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal tanah air, Amar Baharin meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang menyempurnakan amanah penyumbang dengan menyerahkan pek makanan kepada jemaah dan orang ramai di Masjid Nabawi, Madinah.
Amar, atau nama penuhnya Amar Mohf. Baharin, 39, berkata, sumbangan tersebut merupakan hasil infak daripada ramai dermawan sepanjang Misi Journey to Tanah Haram yang disertainya bersama sahabat baik, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagai Qobin.
“Alhamdulillah, semua duit infak yang diberi sebelum memulakan perjalanan, ketika dalam perjalanan, dan selepas kami sampai di Tanah Haram Madinah telah saya infakkan menerusi Restoran @paktam.madinah untuk diagihkan kepada jemaah di Masjid Nabawi,” tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.
Suami kepada pelakon Amyra Rosli itu turut menzahirkan penghargaan kepada semua penyumbang yang sudi berkongsi rezeki bagi menjayakan misi amal tersebut.
“Semoga menjadi ladang pahala buat semua yang menginfakkan harta mereka ke jalan Allah,” ujarnya penuh syukur.
Perkongsian Amar itu turut mendapat pelbagai reaksi positif dalam kalangan netizen yang mendoakan agar segala urusan beliau dan Qobin di bumi Madinah dipermudahkan.
“Alhamdulillah, akan datang pasti ramai yang akan ikut jejak langkah ini. Rasa nikmat sangat,” komen seorang pengikut.
“Madinah tempat terbaik untuk healing. Tenang sangat. Mesti rasa nak datang lagi,” tulis seorang lagi pengguna.
Misi kayuhan Amar dan Qobin yang bermula pada 27 April lalu akhirnya menemui penghujungnya apabila mereka selamat tiba di Masjid Nabawi pada jam 10.45 pagi waktu Arab Saudi (3.45 petang waktu Malaysia) pada Khamis lepas. Pelepasan misi itu sebelum ini telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Usaha dua sahabat ini bukan sahaja membuktikan kecekalan dan semangat luar biasa, malah memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terus berbuat baik dan menginfakkan rezeki ke jalan kebaikan.