TELUK INTAN – Salah seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5, Konstabel Akmal Wafi Annuar, yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Sungai Lampam pagi tadi, sempat memuat naik video suasana di dalam trak bersama rakan seperjuangan menerusi ‘status’ WhatsApp miliknya.
Video yang kini tular di media sosial itu memaparkan beberapa anggota FRU sedang berbual dan bergurau sesama sendiri ketika dalam perjalanan menuju ke Teluk Intan.
Beberapa daripada mereka turut sempat tersenyum ke arah kamera seolah-olah menyedari itu adalah perjalanan terakhir mereka dalam menunaikan amanah sebagai petugas barisan hadapan.
Difahamkan, kebanyakan anggota yang maut menaiki trak yang sama dengan Allahyarham Akmal Wafi. Dalam status seterusnya, beliau turut berkongsi rakaman suasana di sekitar Menara Condong Teluk Intan, dipercayai ketika mereka sedang menjalankan tugasan sempena sambutan Hari Wesak yang berlangsung semalam.
Sementara itu, tinjaun MYBERITA di ruangan komen di media sosial turut dibanjiri ucapan takziah dan doa daripada netizen. Seorang pengguna, Aishah, yang juga kenalan kepada salah seorang mangsa, memaklumkan bahawa Allahyarham Koperal Mohd. Pozli Jaudin merupakan suami kepada sepupunya.
“Takziah buat sepupu saya kehilangan suami Ahmad Pozli yang duduk nombor dua dari masuk ‘track’ tu,” tulisnya.
Pengguna lain turut mendoakan agar roh semua mangsa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan syuhada.
“Perginya ketika bertugas. Semoga Allah angkat semua dalam mati syahid. Al-Fatihah dan salam takziah buat keluarga,” tulis Umi.
“Semoga syurga tempat rehat kalian, Al-Fatihah,” kata seorang lagi pengguna, Badrina.
Terdahulu, lapan anggota FRU Unit 5 Ipoh disahkan maut selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam nahas membabitkan sebuah lori muatan pasir di Jalan Chikus-Sungai Lampam pagi tadi.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Sarjan S. Perumal, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd. Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.
Difahamkan, kesemua anggota FRU berkenaan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas kawalan dalam Op Chariot sempena sambutan Hari Wesak di Teluk Intan. Kenderaan berkenaan membawa 15 orang termasuk pemandu dan penumpang.
@namrunchannel Salam Takziah kepada keluarga anggota yang terlibat 🥺🤲🏻 #FRU #Unit5 ♬ original sound – Abam_JiwangkapaK