GEORGE TOWN – Seorang anggota polis berpangkat Koperal yang dipercayai tertembak diri sendiri dalam kejadian di bilik pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang petang semalam, dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, anggota berusia 58 tahun itu kini dirawat di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Anggota tersebut masih kritikal dan belum menjalani sebarang pembedahan. Ketika ini, dia berada di bawah pemantauan rapi doktor pakar,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Menurut Lee, setakat ini seramai empat anggota polis telah dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati anggota terbabit tidak mempunyai sebarang rekod masalah kesihatan. Siasatan lanjut masih dijalankan dari pelbagai sudut,” ujarnya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Terdahulu, orang awam dikejutkan dengan laporan mengenai seorang anggota polis lelaki yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas dipercayai tertembak diri sendiri menggunakan sepucuk pistol dalam kejadian kira-kira jam 6.12 petang semalam.
Mangsa yang bertugas di Cawangan Kem Komandan dilaporkan ditemui dalam keadaan berlumuran darah di bilik pengawal dengan kecederaan parah akibat tembakan pada jarak dekat.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad dalam kenyataannya berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati satu das tembakan telah dilepaskan daripada senjata yang digunakan oleh mangsa.