Selasa, 8 Julai 2025
UTAMANASIONALAnggota tentera tumbuk wanita bebas jaminan polis

Anggota tentera tumbuk wanita bebas jaminan polis

- Advertisement -

SEREMBAN – Seorang anggota tentera yang dipercayai menumbuk seorang wanita dalam kejadian di Persiaran Senawang 4 kelmarin telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, memaklumkan bahawa siasatan kes itu kini telah diserahkan kepada Bukit Aman kerana suspek merupakan penjawat awam.

“Suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis semalam selepas selesai diambil keterangan.
Bukit Aman kini mengambil alih siasatan kes ini,” katanya.

Terdahulu, insiden itu tular di media sosial yang memperlihatkan seorang lelaki bertindak menumbuk pemandu kereta wanita berkenaan selepas mendakwa anaknya telah dilanggar ketika melintas jalan.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila wanita berusia 28 tahun yang memandu Perodua Axia dalam perjalanan dari Mydin Senawang ke arah Senawang telah melanggar seorang pejalan kaki berumur 34 tahun dan anak perempuannya yang berusia tujuh tahun.

Ketika kejadian, kedua-dua pejalan kaki itu dikatakan melintas secara tiba-tiba dari arah kiri ke kanan jalan, menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar mereka.

Wanita yang dilanggar mengalami kecederaan lebam di rusuk kanan dan bengkak di bahagian belakang kepala, manakala kereta pemandu tersebut turut mengalami kerosakan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan serta menyebabkan kerosakan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN