PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan untuk membincangkan isu penularan dadah dan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan generasi muda secara serius, sambil merangka jalan penyelesaian yang tuntas dan berkesan.
Beliau berkata, meskipun pelbagai usaha telah digerakkan sejak sekian lama, masalah tersebut masih belum menemui penyelesaian muktamad.
“Kita lihat orang Melayu ini (masalah) dadahnya berat, Tadi dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kita bincangkan masalah dadah dan vape dalam kalangan anak-anak kita.
“Tolonglah bincang, carilah jalan atau kaedah apa pun.
“Apakah perlukan dana? Kaunseling? Dakwah? Beritahulah kerana berpuluh tahun kita fikir (masalah ini), tetapi belum selesai.
“Memang ada juga anak Cina dan India yang terlibat, tetapi ia lebih parah dalam kalangan anak Melayu.
“Ini membunuh jiwa mereka sejak kecil, Kenalah lakukan sesuatu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI: Guru Pemangkin Patriotisme Negara di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Anwar turut mengakui masih banyak masalah negara yang belum dapat diselesaikannya sepanjang pentadbirannya, namun pelbagai langkah telah dan sedang dilaksanakan ke arah pembaikan.
“Saya tahu saya belum dapat selesaikan masalah kemiskinan rakyat, Belum lagi dapat menaikkan mutu pendidikan.
“Saya juga belum berjaya mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang cemerlang dan belum dapat mengembangkan dakwah Islam serta kesedaran Islam dalam kalangan pelajar.
“Sebab itu, di sekolah, selain pengenalan buku mengenai dakwah yang bijaksana, kita tidak mahu terlalu keras, terlalu menghukum, terlalu cepat menghina atau mengkafirkan orang” katanya lagi.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet memaklumkan bahawa platform dalam talian yang menjual produk terlarang termasuk dadah yang dicampur dalam cecair vape akan dikenakan tindakan tegas.
Menurutnya, tindakan sama juga akan diambil ke atas individu yang terlibat dalam penjualan atau pengedaran produk terbabit.
Katanya, satu mesyuarat bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah penguatkuasaan lebih menyeluruh terhadap isu berkenaan.