KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Pulau Langkawi hari ini bagi menyokong dan menjayakan penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), satu acara berprestij yang menjadi tumpuan dunia dalam bidang pertahanan, maritim dan aeroangkasa.
Menurut kenyataan beliau di laman Facebook rasmi, penganjuran LIMA’25 mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama teknologi maritim dan aeroangkasa, bukan sahaja di rantau Asia Tenggara malah di peringkat antarabangsa.
“Selain mempamerkan aset dan teknologi pertahanan, LIMA’25 juga menjadi platform penting bagi menjalin kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak industri,” ujar beliau.
Perdana Menteri turut menyatakan harapan agar segala urusan sepanjang penganjuran LIMA’25 dipermudahkan serta pameran edisi kali ini menjadi satu kejayaan yang bermakna buat negara.
LIMA’25 dijangka menarik penyertaan pelbagai negara dan syarikat global dalam sektor pertahanan dan teknologi, sekali gus mengukuhkan lagi peranan Malaysia dalam arena antarabangsa.