KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian mantan Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai satu kehilangan besar kepada negara khususnya dalam sejarah kepimpinan Malaysia yang berteraskan nilai, kesederhanaan dan kemanusiaan.
Menurut Anwar, beliau masih mengingati detik terakhir menziarahi Allahyarham yang ketika itu berada dalam keadaan sangat uzur, namun tetap memancarkan sinar kasih dan kedamaian.
“Saya baru menerima berita yang amat menyentak jiwa iaitu sahabat saya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, telah kembali menemui Ilahi,” ujar Perdana Menteri menerusi kenyataan beliau di media sosialnya sebentar tadi.
Dalam kenyataan tersebut, Anwar turut mengenang keperibadian Tun Abdullah yang dilihat sebagai tokoh berjiwa besar, sentiasa tenang dalam menghadapi cabaran politik, serta menjunjung nilai adab dan ihsan dalam interaksi, termasuk dengan mereka yang berbeza pendirian politik.
“Dalam derapan langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan, Pak Lah sentiasa menjadi pihak yang menenangkan. Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung,” tambah beliau.
Tun Abdullah dikenang atas inisiatif memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari, yang menurut Anwar berjaya menjambatani kemajuan negara dengan prinsip nilai. Di bawah pentadbiran beliau, Malaysia menyaksikan pelbagai reformasi, termasuk dalam bidang kehakiman, ketelusan pentadbiran dan pemerkasaan institusi.
Anwar turut menyatakan bahawa kepimpinan Allahyarham berpaksi pada keterbukaan, termasuk dalam ruang media dan penyertaan awam, selain merangka Rancangan Malaysia Kesembilan yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat luar bandar.
Namun lebih daripada pencapaian dasar dan pentadbiran, Anwar menekankan nilai kemanusiaan dalam kepimpinan Allahyarham.
“Beliau memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meskipun diasak,” kata Anwar, sambil mengimbas kenangan ketika melalui saat sukar dalam hidupnya, di mana Allahyarham tetap menunjukkan keperibadian mulia tanpa menyakiti.
Datuk Seri Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada balu Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah, anakanda Khairy Jamaluddin dan seluruh keluarga.
“Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu. Semoga ruh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat beliau,” katanya.
Negara kini berkabung atas pemergian seorang tokoh negarawan yang telah mencorakkan arah pentadbiran negara dengan pendekatan lembut namun berkesan.