ISKANDAR PUTERI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan harga minyak RON95 walaupun berlaku peningkatan mendadak harga minyak global susulan ketegangan antara Iran dan Israel ketika ini.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kesan langsung yang mungkin ditanggung oleh rakyat dan ekonomi negara sekiranya harga bahan api dinaikkan.
“Minyak ini harganya naik turun. Sekarang ini keadaannya (harga global) agak rendah, tetapi bila naik, ia naik mendadak.
“Namun, kerajaan tidak menaikkan harga minyak kerana mengambil kira kesannya kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Keadilan yang diadakan di Medini, di sini hari ini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan bahawa harga minyak mentah berpotensi melonjak sehingga AS$130 setong sekiranya Iran bertindak menutup Selat Hormuz, sebagaimana dilaporkan oleh Sputnik dan RIA Novosti yang memetik laporan akhbar Turkiye Hurriyet.
Langkah kerajaan untuk tidak menaikkan harga minyak RON95 menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat serta kesungguhan untuk mengekalkan kestabilan harga dalam pasaran domestik meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.