KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau akan terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua kerajaan tanpa sebarang gangguan atau kompromi, meskipun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan.
Menurut Anwar, keputusan mahkamah itu tidak akan menjejaskan komitmennya terhadap kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman, serta maruah sistem pemerintahan demokrasi di negara ini.
“Petang ini, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan saya untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar menjelaskan bahawa permohonannya bukan bertujuan mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelak daripada proses undang-undang, sebaliknya bagi memastikan integriti sistem perlembagaan negara terus terpelihara.
Beliau turut menegaskan bahawa jawatan tertinggi dalam kerajaan tidak seharusnya mudah dijadikan sasaran tindakan undang-undang yang bermotifkan politik dan boleh menggugat kestabilan institusi.
“Saya kekal komited kepada kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan maruah pemerintahan demokrasi.
“Proses undang-undang akan diteruskan dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab saya tanpa gangguan atau kompromi,” tegasnya lagi.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berhubung saman sivil yang difailkan oleh bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.
Permohonan tersebut difailkan pada 23 Mei lalu dan melibatkan isu sama ada seorang Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman sivil berkaitan insiden yang berlaku sebelum memegang jawatan tersebut.
Hakim memutuskan bahawa persoalan yang dikemukakan bersifat spekulatif dan tidak perlu bagi pelupusan saman serta tidak membabitkan sebarang tafsiran atau kesahan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.