PUTRAJAYA — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur segelintir mahasiswa yang didakwa menyebarkan maklumat tidak tepat kononnya berlaku kenaikan kadar tarif elektrik disebabkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menurut Anwar, beliau tidak menolak sebarang bentuk kritikan, namun menegaskan bahawa sebarang pandangan, khususnya daripada golongan muda, perlulah berlandaskan fakta dan kebenaran.
“Katanya kadar elektrik naik. Saya tak faham. Betul ke dia (mahasiswa) terkesan, sedangkan universiti awam dikecualikan.
Kalau benar universiti kenakan caj elektrik kepada mahasiswa, kita kena betulkan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.
Anwar yang juga bekas pemimpin pelajar mengingatkan bahawa kebebasan bersuara tidak wajar disalah guna sebagai ruang menyebarkan tohmahan atau maki hamun.
“Kalau kita kata kita ini pejuang mahasiswa dan ‘conscience of the majority’, maka suara kita mestilah mewakili nurani rakyat.
Tetapi kadar elektrik hanya naik bagi kelompok pengguna teratas iaitu 10 hingga 15 peratus tertinggi. Adakah mahasiswa benar-benar terkesan?” soalnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan SST dilakukan secara berhemah dan progresif. Katanya, sebagai contoh, cukai hanya dikenakan kepada buah-buahan import tertentu.
“Ya, memang ada SST pada buah import seperti epal, limau dan kurma. Tapi bila ada bantahan, saya minta semak semula. Kalau ada jenis limau yang lebih murah, kita boleh kecualikan.
“Saya sendiri arahkan Kementerian Kewangan semak dan buat penyesuaian segera. Jarang perkara ini berlaku, tetapi kita terbuka mendengar,” katanya.
Anwar turut menyeru mahasiswa agar terus menjadi suara rakyat yang kritikal namun bertanggungjawab, demi membina Malaysia Madani yang berasaskan fakta dan dialog matang.