Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMADUNIAAnwar, Timbalan PM Itali bincang perluas kerjasama strategik Malaysia-EU

Anwar, Timbalan PM Itali bincang perluas kerjasama strategik Malaysia-EU

- Advertisement -

ROM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan rasmi dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, bagi membincangkan usaha memperluas kerjasama strategik dua hala serta hubungan Malaysia dan ASEAN dengan Kesatuan Eropah (EU).

Menurut Anwar, pertemuan yang berlangsung di ibu negara Itali itu mencerminkan komitmen bersama untuk terus memperkukuh hubungan erat antara kedua-dua negara yang sekian lama terjalin berlandaskan prinsip saling menghormati.

“Menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Republik Itali, @Antonio_Tajani, di Rom hari ini. Pertemuan ini mencerminkan komitmen bersama untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Itali,” kata Anwar menerusi kenyataan di laman X.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan global, termasuk konflik berterusan di Gaza, situasi di Ukraine serta ketegangan di Asia Barat khususnya membabitkan Iran dan Israel.

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan terhadap hubungan kukuh antara Malaysia dan Itali, yang disifatkan sebagai rakan penting dalam menjalin kerjasama rentas benua demi keamanan, kemakmuran dan kemajuan bersama.

Terdahulu, Anwar juga mengetuai delegasi Malaysia dalam sesi libat urus bersama peneraju industri dan syarikat perniagaan utama Itali, yang meliputi sektor strategik seperti pertahanan dan tenaga.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan dua syarikat pertahanan utama Itali, Fincantieri dan Leonardo – yang sebelum ini menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 – bagi memperkukuh prospek kerjasama jangka panjang.

“Saya tekankan pentingnya pendekatan antara kerajaan (G2G) bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Selain itu, Anwar turut mengadakan pertemuan bersama syarikat tenaga Itali, ENI, untuk membincangkan potensi kerjasama bersama PETRONAS serta meneroka peluang pelaburan baharu yang dapat dimanfaatkan secara bersama.

“Saya manfaatkan sesi ini untuk menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang stabil, progresif dan diyakini,” ujar beliau.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN