RIYADH/JEDDAH – Mahkamah Agung Arab Saudi mengesahkan penampakan anak bulan Syawal pada Sabtu sekali gus menyambut Syawal pada Ahad, 30 Mac.
Memetik laporan portal berita Arab News, solat sunat Aidilfitri akan berlangsung di seluruh negara sejurus selepas matahari terbit.
Menteri Hal Ehwal Islam Arab Saudi, Sheikh Abdullatif Al-Alsheikh, mengarahkan semua cawangan kementerian untuk memastikan solat sunat Aidilfitri dijalankan di lokasi yang ditetapkan kecuali masjid yang berdekatan dengan kawasan solat khas bagi mengelakkan kesesakan.
Sebanyak 19,887 masjid dan kawasan solat di seluruh negara telah disiapkan untuk solat sunat Aidilfitri dengan persiapan rapi dari segi penyelenggaraan dan kebersihan bagi memastikan keselesaan jemaah.
Penduduk Riyadh, Maher Aldossary, meluahkan keterujaannya terhadap sambutan Aidilfitri.
“Kegembiraan Aidilfitri semakin terasa. Kami mengucapkan selamat tinggal kepada Ramadan yang penuh keberkatan dan menyambut Aidilfitri dengan hati terbuka,” katanya.
Sementara itu, Samar Alwan, yang berada di Istanbul, turut menyatakan kegembiraannya menyambut perayaan ini.
“Ramadan di Istanbul sangat istimewa, dan saya berharap ia dapat berlangsung sehari lagi. Namun, kini keterujaan menyambut Aidilfitri semakin memuncak,” katanya.