KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mempertingkat kawalan keselamatan di beberapa lokasi strategik termasuk pusat persidangan, hotel penginapan dan lokasi lawatan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bermula hari ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim memaklumkan, semua elemen PDRM telah digerakkan melalui latihan dan raptai sebelum persidangan berlangsung bagi memastikan kesiapsiagaan maksimum.
“Pegawai-pegawai terlatih telah ditugaskan bagi mengawal rapat keselamatan orang kenamaan (VIP). Keseluruhan kawalan keselamatan persidangan berada dalam keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Dalam masa sama, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penutupan beberapa laluan utama sekitar Lembah Klang bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi antarabangsa berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Pengguna jalan raya memberikan kerjasama yang baik kepada petugas trafik. Aliran lalu lintas mengikut jadual seperti dirancang dan kita berterima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan mereka,” katanya.
Penutupan jalan utama termasuk Jalan Ampang, Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Pinang, Persiaran KLCC dan Jalan P. Ramlee akan dilakukan secara berperingkat sehingga 28 Mei ini.
Sidang Kemuncak ASEAN 2025 menghimpunkan ketua negara dan kerajaan dari seluruh Asia Tenggara, dengan tumpuan kepada isu keselamatan serantau, ekonomi digital, pelaburan serta perubahan iklim.