Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMADUNIAASEAN25: Pemimpin Asia Tenggara bersidang hari ini

ASEAN25: Pemimpin Asia Tenggara bersidang hari ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pemimpin Asia Tenggara berhimpun di ibu negara hari ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, bersama siri mesyuarat peringkat tinggi lain bagi membincangkan pelbagai isu utama melibatkan cabaran semasa, keutamaan strategik serta usaha memperkukuh perpaduan serantau.

Sidang bermula dengan sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, diikuti dengan sesi dialog bersama beberapa kumpulan penting termasuk Wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Wakil Belia ASEAN, dan Wakil Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).

Kemuncak acara hari ini ialah pemeterian Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, yang menjadi penanda aras strategik dalam membentuk hala tuju dan pembangunan masa depan Komuniti ASEAN.

Majlis penutup hari ini akan disempurnakan dengan Majlis Makan Malam Gala yang dianjurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menampilkan pelbagai hidangan tempatan serta persembahan kebudayaan.

Sidang Kemuncak kali ini diadakan bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Ini adalah kali kelima Malaysia memegang jawatan berkenaan selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Turut berlangsung sempena sidang kemuncak ini ialah dua mesyuarat penting peringkat tinggi, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China Pertama, yang menjadi platform penting memperkukuh kerjasama strategik serantau dan antara serantau.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN