Khamis, 17 Julai 2025
UTAMAHIBURANAshmirul syukur mara ke peringkat seterusnya, sedia bangkit pertaruh lagu Bunga Hati

Ashmirul syukur mara ke peringkat seterusnya, sedia bangkit pertaruh lagu Bunga Hati

- Advertisement -

SHAH ALAM – Peserta Big Stage Alpha, Ashmirul meluahkan rasa syukur selepas berjaya melangkah ke minggu kedua program realiti itu, walaupun persembahannya baru-baru ini ada sedikit kekurangan.

Menurut Ashmirul, peluang yang diberikan kepadanya sangat dihargai dan dia berjanji akan memberikan yang lebih baik pada minggu-minggu akan datang.

“Saya rasa sangat puas hati dan bersyukur kepada Allah kerana diberi peluang dan rezeki untuk teruskan perjuangan di Big Stage Alpha,” katanya.

Ashmirul juga mengakui berlaku sedikit kesilapan ketika persembahan solo, disebabkan tumpuannya terganggu ketika ingin mencapai nota tinggi.

“Saya fokus 100 peratus semasa menyanyi solo, tapi mungkin sebab terlalu fikirkan nota tinggi, saya hilang sedikit kawalan. Saya akui memang ada terkucil sikit. Saya akan belajar kawal perkara ni untuk persembahan akan datang,” katanya jujur.

Ashmirul dipilih oleh juri untuk terus ke minggu seterusnya, sekali gus menyaksikan perpisahan dengan dua ahli kumpulannya, Apich dan Alif.

“Saya bersyukur juri percaya pada bakat saya. Tapi sedih juga sebab perlu berpisah dengan Apich dan Alif. Mereka banyak bagi semangat dan jadi tulang belakang saya dalam kumpulan. Saya akan terus bawa semangat mereka,” ujarnya.

Mengulas teguran juri yang menyentuh postur badannya ketika membuat persembahan, Ashmirul berkata dia menerima nasihat itu dengan hati terbuka.

“Saya terima teguran tu dengan baik. Juri lebih berpengalaman dan saya akan perbaiki gaya persembahan saya supaya lebih yakin dan berpersonaliti di atas pentas,” katanya.

Untuk minggu kedua, Ashmirul bakal menyanyikan lagu Bunga Hati nyanyian asal Salma Salsabil.

“Lagu ni memang antara kegemaran saya, selalu dengar masa memandu. Saya akan guna peluang ini untuk tunjukkan kemampuan sebenar,” katanya.

Ashmirul juga berterima kasih kepada pihak produksi Big Stage Alpha dan Astro kerana menyediakan kelas vokal, tarian dan penjagaan pemakanan yang baik sepanjang dia berada dalam program itu.

“Insya-Allah saya akan berikan yang terbaik untuk minggu kedua,” tambahnya.

Seramai 12 peserta bersaing dalam Big Stage Alpha untuk minggu kedua yang menampilkan Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini sebagai juri tetap.

Program hiburan popular itu dikendalikan oleh pengacara Elly Mazlein dan Rina Nose, bersiaran langsung dari Shah Alam Royal Theater setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria serta boleh distrim melalui Astro GO dan sooka.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN