KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Astro Shaw dan Mirinda telah menganjurkan sebuah majlis berbuka puasa yang penuh kasih sayang bersama 40 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur, Rawang.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Penjenamaan, Pemasaran & Pengedaran Astro Shaw, Amy Gan, serta Norsalvina Alwee yang menyampaikan sumbangan duit raya dan hamper kepada anak-anak yatim terbabit.
Suasana majlis bertambah meriah dengan kehadiran beberapa selebriti tanah air seperti pelakon filem Keluang Man, Nas Muammar Zar dan Anwaar Beg Moghal, selain pelakon drama popular One Cent Thief 2 dan First Wives. Turut mencuri perhatian ialah kehadiran Uncle Mike, individu yang menginspirasi filem Abah Saya Uncle Mike, bersama tiga anak angkatnya.
Menurut Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, kolaborasi bersama Etika menerusi jenama Mirinda bukan sahaja mengukuhkan hubungan strategik, malah mengeratkan jalinan dengan masyarakat menerusi aktiviti kemasyarakatan yang bermakna.
Dalam majlis sama, Mirinda turut melancarkan treler Raya bertajuk Balik Rayaaahhh untuk filem Abah Saya Uncle Mikeyang kini boleh ditonton di platform media sosial. Sesi ramah mesra bersama barisan pelakon serta sesi uji bakat untuk drama Bad Cop turut diadakan di beberapa pasar raya terpilih sebagai sebahagian daripada kempen promosi.
Sebagai tanda penghargaan kepada peminat, Mirinda menawarkan e-Duit Raya bernilai RM260,000 kepada pelanggan bertuah yang berbelanja minimum RM15 sepanjang kempen bermula 1 Mac hingga akhir April.
Dalam perkembangan lain, filem Keluang Man dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 29 Mei 2025, manakala Abah Saya Uncle Mike akan ditayangkan Ogos ini. Drama First Wives pula bakal bersiaran mulai 11 April di Astro Ria dan Astro Go.