Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAPENDIDIKANAsyraf disapa anak keluaran MARA bergaji RM20,000 di Doha,bukti kejayaan TVET MARA

Asyraf disapa anak keluaran MARA bergaji RM20,000 di Doha,bukti kejayaan TVET MARA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan kisah inspirasi seorang bekas pelajar Institut Kemahiran MARA (IKM) yang kini bekerja di Doha, Qatar dengan pendapatan mencecah RM20,000 sebulan.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkongsi pertemuannya dengan pemuda tersebut, dikenali sebagai Ibrahim, ketika dalam penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dari Doha. Ibrahim merupakan lulusan Sijil Teknologi Fabrikasi dari IKM Kuala Lumpur dan kini bertugas sebagai mekanik badan kapal terbang di Qatar Airways.

“Saya disapa seorang anak muda ketika dalam penerbangan pulang. Dia memberitahu gajinya sekitar RM17,000 hingga RM20,000 sebulan. Hebat! Anak muda dari Merlimau, Melaka ini amat berbangga menjadi anak MARA,” katanya.

Tambah Asyraf, Ibrahim memaklumkan bahawa kesemua rakan sekelasnya juga memperoleh pekerjaan dengan pendapatan yang setara, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran teknikal dalam industri penerbangan.

“Siapa kata lulusan TVET tidak boleh berjaya? Buktinya, graduan institusi kemahiran MARA seperti GiatMARA, IKM, KKTM, MJII, UniKL dan GMI kini diiktiraf di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kisah kejayaan seperti Ibrahim adalah selari dengan hasrat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis TVET Negara yang menggagaskan Dasar TVET Negara untuk melahirkan tenaga kerja mahir bergaji premium.

“Ibrahim ialah contoh jelas bagaimana dengan sijil TVET dan kemahiran profesional, seseorang boleh meraih pendapatan tinggi dan diiktiraf global. Inilah bukti bahawa hanya dengan ilmu, kehidupan boleh berubah,” tulisnya lagi.

Asyraf menutup kenyataan beliau dengan laungan semangat,“MARA Terus Mendunia!”

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN