- Advertisement -
 |
Video tersebut, yang memperkenalkan pelbagai produk hasil kerja tangan penghuni penjara wanita itu, telah mendapat sambutan hangat daripada orang ramai. (Foto Aqilah Nadhirah) |
KUALA LUMPUR – Produk keluaran penghuni Penjara Kajang kini mendapat perhatian ramai selepas satu video promosi dimuat naik oleh pempengaruh media sosial yang juga seorang peguam, Tun Laila.
Video tersebut, yang memperkenalkan pelbagai produk hasil kerja tangan penghuni penjara wanita itu, telah mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.
Laila berkongsi bahawa beliau kerap mengunjungi Penjara Kajang atas urusan kerja bertemu anak guamnya. Menurutnya, maklumat tentang produk yang dihasilkan dalam penjara tersebut sebenarnya diketahui melalui anak guamnya sendiri.
“Saya sendiri sebelum ini tidak tahu mengenai kewujudan produk-produk ini. Jadi, saya beranggapan orang awam juga kurang peka tentangnya. Oleh itu, saya hanya berkongsi maklumat yang ada bagi memberi pendedahan kepada masyarakat,” katanya.
Tambahnya, beliau mendedahkan bahawa pihak Penjara Kajang pernah berhasrat menghubunginya untuk berbincang lanjut mengenai promosi produk mereka, namun tidak berjaya kerana beliau jarang membuka mesej di media sosial.
“Rupa-rupanya pihak penjara ada beritahu yang mereka cuba hubungi saya, tapi tak dapat sebab saya tak buka sangat DM media sosial. Tapi, kalau saya datang ke Penjara Kajang, memang mereka ada maklumkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tayangan Program Raya Astro 2025, di Bandar Utama, malam tadi.
Walau bagaimanapun, pihak penjara telah memaklumkan kepadanya tentang usaha meningkatkan sistem jualan produk mereka, termasuk Karipap Penjara yang pernah dipromosikannya sejak tahun lalu.
“Setiap kali saya datang ke Penjara Kajang, mereka ada beritahu pasal Karipap Penjara tu. Mereka betul-betul kena buat satu sistem baru untuk pembelian sebab permintaan meningkat,” jelasnya.
Laila turut berkongsi pengalaman beliau menyambut Ramadan tahun ini, yang menurutnya membawa banyak ketenangan dan keberkatan.
“Saya sangat-sangat-sangat bersyukur. Mungkin sebab kita dah besar, bulan Ramadan memang membawa sesuatu yang kita tak boleh jumpa di luar. Macam ketenangan dan keberkatan yang dibawa bulan ini,” katanya.
Beliau juga meluahkan rasa syukur kerana berjaya berhubung semula dengan rakan lama serta menerima kehadiran ahli keluarga baharu, termasuk anak buah dan anak kucing yang diambilnya.
Mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri, beliau mengakui masih belum membuat persediaan sepenuhnya.
“Persiapan raya belum ada lagi. Alhamdulillah, kita lebih kepada guna apa yang ada. Sebab, kalau ikut sunah, bukan pakaian baru yang penting, tetapi yang cantik,” jelasnya.
Laila turut berkongsi bahawa beliau merancang untuk pulang beraya di Ipoh, Perak bersama keluarga.
“InsyaAllah, tahun ini raya di Ipoh,” katanya ringkas.
Iklan