Khamis, 17 Julai 2025
UTAMASEMASAAzeem Fahmi hampir pecah rekod, MA yakin potensinya sebagai ikon olahraga negara

Azeem Fahmi hampir pecah rekod, MA yakin potensinya sebagai ikon olahraga negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Majlis Olahraga Malaysia (MA) menaruh kepercayaan penuh terhadap pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi, yang dilihat berpotensi besar untuk muncul sebagai antara atlet terbaik dalam sejarah sukan tanah air.

Azeem, 21, hampir meleburkan rekod kebangsaan acara 200 meter apabila mencatat masa 20.79 saat pada Kejohanan Olahraga Pepsi Florida Relays di Florida, Amerika Syarikat, awal April lalu. Catatan itu hanya 0.02 saat di belakang rekod kebangsaan 20.77s yang dicatat Russel Taib pada tahun 2019.

Pelari kelahiran Teluk Intan, Perak itu menamatkan saringan keenam di tempat pertama, sekali gus membuktikan kemampuannya dalam bersaing di pentas antarabangsa. Sebagai pemegang rekod 100m kebangsaan, kejayaan Azeem dianggap sebagai petanda positif kepada masa depan olahraga negara.

“Teruskan Azeem. Kejayaan sedang menanti anda di garisan penamat. Doa rakyat Malaysia sentiasa bersama atlet olahraga. Pencapaian ini sangat membanggakan selepas kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan 60m dalam dewan,” kata MA dalam satu kenyataan.

Tambah kenyataan itu, prestasi cemerlang Azeem adalah hasil latihan intensif bersama jurulatihnya, Ken Harnden, dan ia menunjukkan peningkatan ketara sepanjang musim ini.

Walau bagaimanapun, Azeem mengakui masih belum berpuas hati dan menyatakan masih banyak ruang untuk penambahbaikan bagi memastikan konsistensi dalam lariannya.

Kini, tumpuan utama Azeem adalah untuk memperbaiki masa lariannya dalam usaha melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun, yang dijadual berlangsung pada September depan.

Kejayaan demi kejayaan Azeem jelas menyuntik semangat baharu buat arena olahraga negara dan MA berharap semangat serta dedikasinya menjadi inspirasi kepada atlet muda lain.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN