KUALA TERENGGANU – Jaguh pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi bertekad memanfaatkan sepenuhnya tempoh tiga minggu terakhir latihan intensif sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Universiti Dunia (Universiade) di Rhine-Ruhr, Jerman bulan depan.
Pelari berusia 21 tahun itu berkata, fokus utamanya kini adalah membina semula pelan latihan selepas menamatkan musim Kejohanan Akhir Olahraga Dalam Dewan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Amerika Syarikat, selain memastikan dirinya kekal bebas daripada sebarang kecederaan.
“Sekarang saya dalam fasa ‘reset’. Selepas habis NCAA, kami terus rancang fasa akhir.
“Tiga minggu ini, saya memang nak berlatih habis-habisan. Kalau saya kekal sihat dan bebas kecederaan, insya-Allah saya boleh sumbangkan sesuatu untuk kontinjen Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Balapan dan Trek Varsiti Siri 2 di Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA), semalam.
Pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (10.09 saat) itu tidak meletakkan sebarang sasaran masa di Universiade nanti, sebaliknya berazam untuk mara ke pentas final – pencapaian yang belum pernah dicapai mana-mana pelari negara setakat ini.
“Saya tak letak sasaran catatan masa kerana kalau 10.17s pun pernah bawa pingat. Saya rasa saya berada dalam kelompok yang mampu beri saingan dan layak ke final atau menyumbang pingat.
“Banyak perkara boleh berlaku pada hari perlumbaan. Cabaran dijangka hebat, khususnya daripada pelari Afrika Selatan, Neo Mosibudi (10.08s) dan pelari dari Jamaica,” jelas atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu.
Dalam masa sama, Azeem menjadikan catatan rekod kebangsaannya yang dilakar di Colombia pada 2022 sebagai penanda aras untuk memperkukuh pencapaian di pentas antarabangsa.
“Ramai atlet dunia mampu lari bawah 10 saat. Kalau saya mahu capai tahap itu, saya kena mula dengan ulang banyak kali catatan sekitar 10.20s dahulu. Itu misi saya,” katanya penuh yakin.