SHAH ALAM – Seorang lelaki warga Sri Lanka ditemui maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian banjir di sebuah stor menyimpan barang-barang pembinaan di Taman Alam Indah, Seksyen 25, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 10.51 pagi.
“Siasatan awal mendapati premis tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai stor, malah turut dijadikan tempat tinggal mangsa yang berusia 27 tahun itu.
“Turut ditemui di lokasi kejadian ialah seekor anjing yang mati di sisi mangsa, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan penyiasat terpaksa menunggu kehadiran petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memutuskan bekalan elektrik sebelum dapat menghampiri mayat mangsa untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan pergelutan mahupun kecederaan lain. Mayat telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk proses bedah siasat,” jelasnya.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372.