PUTRA HEIGHTS – Kerajaan bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sedang mempertimbangkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik kediaman yang mengalami kerosakan teruk akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi mereka yang mengalami kerosakan ringan, bantuan sebanyak RM2,500 akan disalurkan bagi meringankan beban penduduk yang terkesan sementara tindakan susulan diambil.
“Untuk langkah segera dalam satu atau dua hari ini, Petronas dan kalau perlu Kerajaan Persekutuan akan lihat keperluan menambah (bantuan), bagi rumah yang rosak sepenuhnya diberikan RM5,000 segera.
“Ini supaya mereka dapat belanja sementara dan yang mana (sedikit) terkesan itu, (bantuan) itu RM2,500,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian itu, hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan, Petronas dan kerajaan negeri akan bekerjasama sepenuhnya dalam usaha memulihkan kawasan perumahan yang terjejas akibat kebakaran tersebut.
Beliau berkata, ketika ini, Petronas bersama jentera kerajaan sedang berbincang bagi merangka tindakan segera dan munasabah untuk membantu mangsa.
“Keutamaan kita sekarang ialah keselamatan dan setakat ini keadaan terkawal. Sebab itu saya memilih untuk turun sendiri ke lokasi kejadian,” ujarnya.
Kebakaran saluran paip gas di Putra Heights hari ini menyebabkan beberapa kediaman mengalami kerosakan teruk. Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil bagi mengelakkan insiden berulang.